1 Jan 2013

AKTIVITI DAN PROGRAM 2016












SAMBUTAN MAULIDUL RASUL 1438H 


Sambutan Maulidul Rasul di KTSD tahun ini agak meriah bermula dengan perarakan warga KTSD bermula jam 5.30 petang tanggal 9 Dis 2016 bersamaan 12  Rabiul Awal. Cuaca yang redup petang itu tidak menghalang kira-kira 50 orang warga KTSD berarak sambil berselawat dipandu oleh Ustaz Suhaimi.


Selepas solat Maghrib sambutan diteruskan dengan ceramah maulid oleh Ustaz Noor Amali @ Dhiya'udin bin Hj AbRahim (Mudir Rebat Tahfiz Serkam). Isi ceramah banyak mengisahkan sejarah Rasulullah menghadapi pelbagai cabaran bagi menegakkan Islam sebagai agama yang diredai Allah SWT.



Majlis berakhir selepas solat Isyak. Semua hadirin menikmati jamuan makan secara berjemaah berupa jamuan nasi ambang. 


SAMBUTAN MERDEKA 2016

Sempena ulangtahun kemerdekaan negara ke-59, KTSD  turut mengambil peluang menghayati detik-detik bersejarah ini dengan mengadakan sambutan pada 30 Ogos 2016 bermula jam 9.00 malam.

Warga KTSD bari semua lapisan generasi datang berhimpun di balairaya kira-kira jam 9.00 malam. Sambutan dimulakan dengan upacara menaikkan bendera kebangsaan diiringi nyanyian lagu kebangsaan dan negeri Melaka. Cikgu Salleh Ahmad selaku MC pada malam itu memulakan program dengan mempersilakan Ust Jainal memimpin bacaan doa.


Kesepian malam berubah apabila tembakan bunga api dilepaskan ke udara, Kegelapan malam bertukar kegemerlapan percikan bunga api pelbagai warna bagai bintang bertaburan di langit merdeka. 


Acara seterusnya ialah slot mendeklamasikan sajak kemerdekaan. Nur Nabila bt Abd Aziz serta adiknya menghangatkan suasana dengan sajak-sajak yang dideklamasikan. Suasana semakin meriah apabila barisan peserta pakaian beragam patriotik memperagakan pakaian masing-masing. Ternyata suasana malam itu telah meresap semangat patriotik dan sayangkan negara tercinta di hati sanubari pengunjung.

Tidak ketinggalan kemeriahan malam lebih mendebarkan apabila slot cabutan bertuah dimulakan. Keluarga yang bertuah begitu gembira menerima hamper kali ini. Majlis berakhir dengan jamuan kepada semua hadirin. Diharapkan sambutan seperti ini akan dijalankan pada tahun hadapan. 


SAMBUTAN SYAWAL KTSD MERIAH



Kemuncak sambutan Syawal di KTSD sentiasa dinanti-nantikan oleh semua warga taman. Saban tahun sebelum berakhirnya bulan Syawal, AJK KRT, Persatuan Penduduk serta  Badan Surau akan merancang program Perayaan Syawal sebagai penutup sambutan Syawal setiap tahun.






Pada tahun ini acara kemuncak ini di adakan pada 27 Syawal bersamaan 1 Ogos 2016. Bermula jam 8.00 malam warga KTSD mula hadir ke balai raya KTSD  bersama keluarga masing-masing. Khemah tetamu telah diterangi lampu serta pancaran spotlight pelbagai warna menghiasi malam itu. Pembekal makanan dan minuman telah memulakan tugas menyusun dan membuat persiapan terakhir bagi menjamu selera pengunjung. Kali ini menu yang dipilih masih mengekalkan hidangan tradisi, ketupat, lodeh, rendang dan sambal tumis. Selain itu terdapat juga hidangan lain seperti nasi goreng, kuetiau dan mee goreng serta roti canai. Minuman panas dan sejuk juga disediakan.







Selepas solat Isyak, warga KTSD dari semua lapisan usia mula memenuhi kerusi tetamu yang disediakan di perkarangan balai raya ini. Lagu-lagu hari raya telah berkumandang memeriahkan lagi suasana menandakan sambutan hari raya  telah bermula. Kemeriahan Syawal lebih terserlah apabila kebanyakan pengunjung hadir mengenakan pakaian tradisional baju Melayu bersamping serta baju kurung bagi kaum wanita dalam pelbagai corak dan warna. Anak-anak kecil berlari keriangan disegenap ruang.

Pengacara malam itu ialah Ustaz Jainal yang telah memulakan majlis diikuti bacaan doa oleh Ustaz Alias Zaidi kira-kira jam 9.20 malam. Pasukan marhaban diketuai Tn Hj Awaluddin telah mengalunkan bait-bait selawat dan marhaban diikuti qasidah Ya Hanana. Suasana syahdu amat dirasai ketika itu apabila semua pengunjung turut menyambut alunan marhaban ini bagai alunan mendayu memecah kesunyian malam. Jelas kepuasan terpancar disetiap wajah pengunjung yang hadir.

Ucapan hari raya disampaikan oleh Tn Hj Mohamad Ibrahim selaku Pengerusi KRT KTSD seterusnya merasmikan majlis. Agak terkilan juga kerana tetamu khas ADUN Serkam dan pegawai Perpaduan tidak dapat hadir pada malam itu. YB telah diwakili oleh Ustaz Imran bin Abdullah Biro Agama DUN Serkam. Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata kepada bakal haji iaitu Ustaz Tuba Nihrir serta isteri, En Ibrahim Samad serta isteri dan anak dan pasangan En Aziz Rasol dan isteri. Anak-anak yang cemerlang dalam akademik tahun 2015 turut di beri hadiah oleh pihak penganjur.

Aturcara seterusnya ialah sesi bergambar ramai dimulakan kumpulan kaum bapa dan anak-anak lelaki diikuti oleh kaum wanita. Selesai bergambar sampailah masa jamuan makan yang diadakan secara buffet. Para pengunjung bebas memilih juadah yang disediakan dipersekitaran kawasan.


Majlis berakhir kira-kira jam 11.00 malam. Warga KTSD beransur meninggalkan tempat duduk masing-masing. Masing-masing berharap agar susana seperti ini akan berulang lagi pada tahun hadapan. Insya Allah.




MARHABAN SEPANJANG SYAWAL DI KTSD


Kemeriahan Syawal tidak lengkap tanpa program Marhaban dan berkunjung dari rumah ke rumah. AJK Sambutan Tn Hj Zakariah Jantan telah menyusun program ini bermula 12 Syawal bersamaan 17 Julai 2016. 



Marhaban merupakan suatu amalan tradisi bagi warga KTSD sejak pembukaan taman lebih dua puluh tahun yang lalu. Kini jumlah rumah telah melebihi 150 buah namun budaya ini masih relevan. Setiap malam seluruh warga KTSD akan membuat kunjungan sambil berselawat antara lima ke lapan buah rumah.Setelah bacaan doa dan ucapan tuan rumah, jamuan akan disediakan oleh tuan rumah sama ada yang berat atau ala kadar sahaja.



Program ini antara kebanggaan masyarakat KTSD yang terus mendapat sambutan baik daripada sebahagian besar penduduk. Walaupun budaya ini berasal dari budaya negeri Johor namun tidak asing blagi bagi masyarakat di sini.

Setelah dua minggu bermarhaban sambil mengunjungi rumah jiran tetangga bermula dari selepas solat Isyak, program ini berakhir pada 30 Julai 2016. Sesungguhnya disamping berselawat, kami dapat mengenali jiran tetangga dengan lebih erat. Diharapkan program ini terus dilakukan setiap tahun sebagai satu program wajib



BERTADARUS SEPANJANG RAMADHAN


Membaca al-Quran dikira sebagai berzikir dan zikir al-Quran lebih afdal dan utama daripada zikir-zikir yan lain. Oleh itu membaca al-Quran adalah sebagai ibadat tetapi tidaklah melebihi daripada ibadat-ibadat yang wajib.

Warga KTSD mengambil peluang ini dengan membaca  quran atau bertadarus selepas solat terawikh. Kadangkala jumlah pembaca melebihi dua puluh orang termasuk kanak-kanak dan remaja terutama sewaktu cuti persekolahan atau semester.

Begitulah sambutan masyarakat warga KTSD terhadap program ini agak baik dan membanggakan.




CERAMAH AMBANG RAMADHAN


Menjelang Ramadhan ini pada 3 Jun 2016, Badan Surau KTSD mengambil inisiatif melaksanakan program ceramah penghayatan Ramadhan. Ceramah kali ini disampaikan oleh Imam Masjid Selat Melaka Al-Fadhil Tn Hj Ismail Hafizul Azim bin Ismail.

Majlis bermula seawall jam 6.30 petang dimulakan dengan bacaan tahlil diikuti solat Maghrib. Selepas solat Maghrib sesi ceramah bermula di dataran Surau KTSD. Warga KTSD menikmati ceramah ini dalam suasana santai namun tidak memgurangi ilmu  dan pengajaran yang disampaikan.

Selepas solat Isyak para jemaah menikmati jamuan makan ala-ala hidangan ambang. Majlis berakhir kira-kira jam 10.00 malam.



GOTONG ROYONG MEMBERSIHKAN KAWASAN SURAU





Sebagai persiapan menyambut Ramadhan, warga KTSD bergotong-royong membersihkan kawasan surau. Surau menjadi tempat penting sepanjang bulan Ramadan ini melakukan perbagai aktiviti. Selain  menjadi tumpuan umat muslimin melakukan solat, di sini jugalah kami melakukan solat terawikh dan kemudianya bertadarus sepanjang Ramadhan. Sewajarnyalah kami perlu membersihkan kawasan ini agar amalan kami nanti lebih yakin dan diberkati. Gotong-royong dihadiri sebahagian warga KTSD pada 3 Jun 2016




MAJLIS ISRAK MIKRAK KTSD DI PERKARANGAN SURAU.
Menjelang tanggal 27 Rejab 1437 H bersamaan 4 Mei 2016, Alhamdulillah Badan Surau KTSD telah berjaya mengadakan program ceramah memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang telah berlaku setahun sebelum hijrahnya Nabi SAW ke Madinah bersamaan tahun 721 Masihi. 
Israk Mikraj ialah perjalanan Rasullullah SAW  dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis di Palestin serta dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit ketujuh.
Sekaligus dapat memberi pendedahan kepada tetamu yang hadir betapa pentingnya memulia dan mengingati peristiwa tersebut. Sambutan ini juga bertujuan untuk  membentuk akhlak penduduk setempat dengan menjadikan Rasullullah sebagai ikutan dan contoh dalam perjalanan hidup ini.
Manakala Ceramah telah disampaikan oleh Yg Berbahagia Al-Ustaz Hj Omar bin Man yang juga merupakan guru ta’mir di surau ini. Seramai lebih kurang 150 orang telah menghadiri majlis tersebut yang bermula pada waktu solat Maghrib bertempat di Surau AlTaqwa KTSD.  Kaum lelaki bersila di perkarangan surau manakala kaum wanita dalam surau sahaja.

Dalam ceramahnya antarawaktu Maghrib dan Isyak itu Ustaz Omar banyak menekankan tentang peristiwa-peristiwa penting serta pengajarannya daripada peristiwa besar kerasulan Nabi Muhammad SAW dan mengharapkan semoga ia menjadi suatu peringatan yang akan menambah keimanan umat kepada Allah SWT.

Setelah menikmati jamuan makan secara berjemaah majlis bersurai kira-kira jam 10.00 malam.Semoga majlis ini dapat memberi rahmat kepada tetamu yang hadir pada malam itu.




HARI KELUARGA KTSD DISAMBUT MERIAH

Program yang dinanti-nantikan selama ini akhirnya berjaya dilaksanakan pada 2 Mei 2016. Sambutan Hari Keluarga KTSD kali ini diadakan di kawasan Padang Permainan KTSD sahaja namun sambutannya meriah sekali.




Persediaan telah dibuat dengan rapi oleh AJK KRT dan BKP serta warga KTSD. Gotong-royong, pembelian hadiah dan sebagainya telah diadakan awal-awal lagi bagi memastikan perjalanan program teratur dan lancar.





Seawal jam 7.45 pagi warga KTSD mula berkumpul di Padang Permainan bermula dengan pendaftaran peserta. Kira-kira 200 orang warga  KTSD telah hadir namun kehadiran bilangan keluarga masih berkurangan.









Program bermula dengan senamrobik atau fitclub. Slot memanaskan badan yang diiringi alunan muzik menimbulkan kesegaran untuk menghadapi aktiviti program seterusnya.







Pelbagai katogeri sukan dijalankan bermula dengan pertandingan futsal remaja lelaki serta sukaneka kanak-kanak. Bagi kaum wanita dan remaja perempuan tidak ketinggalan melakukan pelbagai aktiviti yang tidak kurang mencabar. Kaum bapa bersama anak-anak muda lelaki pula bermain fitball di gelanggang futsal yang menjadi acara kemuncak program ini.








Cuaca  panas tidak menghalang kemeriahan sambutan. Pelbagai juadah disediakan secara percuma di persekitaran kawasan. Besar kecil, tua muda semuanya mengambil bahagian menjadikan suasana kekeluargaan semakin erat. Sebenarnya inilah tujuan utama program ini bagi menjalin hubungan kejiranan.

Majlis perasmian telah dilaksanakan oleh Pegawai Perpaduan Daerah Jasin En Mustafa Haron kira-kira jam 11.00 pagi. Beliau sempat menyaksikan acara keluarga iaitu pemakain kain pelikat dan serban bagi kaum bapa. Pelbagai kelucuan mencuit hati bagi lima keluarga yang telah mengambil bahagian. 



Akhirnya kira-kira jam 12.30 tengah hari program Hari Keluarga KTSD melabuhkan tirainya. Setelah mengemaskan kawasan warga KTSD meninggalkan padang permainan dengan seribu kenangan yang sukar dilupakan.



GOTONG ROYONG DI PADANG PERMAINAN KTSD

Warga KTSD telah menjalankan program gotong royong di kawasan padang permainan pada 1 Mei 2016. Kawasan ini merupakan lokasi Program Hari Keluarga KTSD pada 2 Mei.






Sebahagian kawasan berjaya dibersihkan oleh kira-kira 20 orang warga KTSD yang hadir. Kini semua persediaan telah lengkap menanti ketibaan Hari Keluarga tahun ini.


LIGA FUTSAL KTSD  2016

Jiran Muda KTSD mengambil inisiatif melaksanakan pertandingan futsal pada 17 April 2016. Pertandingan dijalankan bagi dua katogeri remaja dan junior. Sambutan penyertaan amat baik apabila lebih 30 penyertaan telah berjaya didaftarkan.







KRT dan BKP telah menyumbang piala pusingan kepada pemenang. Semoga program ini berjaya menarik minat golongan remaja melakukan aktiviti yang berfaedah. Diharapkan program seperti ini dijalankan pada masa-masa akan datang.



MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA KETUA POLIS JASIN

Pada 1 April 2016 5 orang AJK KRT KTSD telah menghadiri Majlis Perjumpaan dan Ramah Mesra bersama Ketua Balai Polis Jasin yang baru kira-kira jam 9.00 malam.

Dalam ucapannya beliau menjelaskan bahawa keadaan sekarang terdapat pelbagai kes jenayah dan penipuan dalam masyaraka khususnya dalamkawasan Bandar. Namun Daerah Jasin masih dikira aman berdasarkan kurang kejadian jenayah.

Pemimpin-pemimpin masyarakat daerah Jasin diharapkan dapat membantu pihak polis menjaga keamanan di kawasan masing-masing dengan mengadakan kumpulan rondaan dan melapoekan perkara-perkara yang menimbulkan keraguan.


Majlis berakhir kira-kira jam 11.00 malam.




PASUKAN KENDARAT MEMBANTU WARGA KTSD DALAM 
MAJLIS WALIMATULURUS

Pasukan Kendarat Wanita KTSD tidak kurang member sumbangan dalam majlis-majlis perkahwinan di KTSD. Aktiviti pertama tahun ini ialah ketika majlis di rumah Pn Jamilah Osman pada 8 Jan yang lalu.



Aktiviti seterusnya ialah pada 7 Feb ketika majlis walimatulurus anak En Ismail Hamizan. Kira-kira 10 orang petugas kendarat  telah berjaya membantu tuan rumah menguruskan jamuan dalam majlis tersebut.







PERSEMBAHAN BARZANJI DAN SELAWAT SEMPENA MAJLIS WALIMATULURUS DAN AQIQAH

Sekali lagi Kumpulan Barzanji KTSD memperdengarkan alunan suara mengisi majlis sempena Majlis Walimatulurus Mohd Haziq b. Zakariah di rumah Tn Hj Zakariah pada 30 Jan yang. Suasana majlis hari itu amat meriah dengan kehadiran mempelai dan jemputan bertali arus. Persembahan barzanji, selawat dan tahlil bermula dari jam 10.00 pagi dan berakhir jam 11.00.



Selain itu pada 8 Feb yang lalu Kumpulan ini jugamembuat persembahan barzanji, berselawat dan tahlil sempena Majlis Aqiqah dirumah En Ibrahim Samad. Majlis berjalan dengan meriah sekali.



PERSEMBAHAN KOMPANG JIRAN MUDA KTSD

Jiran muda KTSD berkesempatan membuat  persembahan kompang sempena majlis perkahwinan di rumah Pn Jamilah bt Osman.  Kira-kira lima belas  pemuda mempamerkan persembahan bagi memeriahkan majlis. Persembahan berlangsung sempena majlis berinai kedua mempelai setelah berlangsungnya majlis akad nikah.






Semoga pasukan kompang pemuda akan terus bersemangat membuat persembahan pada majlis yang akan datang.


GOTONG-ROYONG MEMBERSIHKAN BALAI  RAYA, SURAU DAN
 PONDOK KAWALAN.

Pada 31 Januari  2016 sekali  lagi penduduk KTSD membuat kerja amal bergotong-royong. Kali ini lokasi kerja dijalankan di kawasan balai raya, surau dan persekitaran pondok kawalan. Kerja-kerja membersihkan semak samun dan menebang pokok siap dijalankan di kawasan balai raya dan surau.  Selain itu AJK Keselamatan telah mengecat palang keselamatan di pondok kawalan bagi memudahkan penduduk merentasi kawasan terutamanya pada waktu malam.











Kerja-kerja yang bermula jam 8.30 pagi berakhir jam 12.00 tengah hari. Terima kasih kepada penduduk yang sudi melapangkan masa melaksanakan tugas kemasyarakatan KTSD.

Program seperti ini telah dapat menerapkan nilai perpaduan kepada masyarakat serta kepentingan bergotong-royong dapat melaksanakan sesuatu kerja dengan cepat dalam suasana yang menyeronokkan.




GOTONG-ROYONG MEMBERSIHKAN TANAH WAKAF



Anggota masyarakat perlu dipupuk tentang amalan bergotong-royong ini sejak kecil lagi.bak kata pepatah "melentur buluh biarlah dari rebung".   Oleh itu, ibu bapa,guru-guru,dan media massa perlu memainkan peranan untuk memberikan kesedaran tentang pentingnya amalan gotong-royong ini.

Pada 24 Januari yang lalu penduduk KTSD berkesempatan membersihkan kawasan tanah wakaf secara bergotong-royong. Kira kira 15 orang  kaum bapa datang membawa peralatan sendiri seperti mesin rumput, parang dan pengaut. Ternyata amalan seperti ini bukan sahaja dapat melakukan tugasan dengan ringan dan mudah malah dapat memupuk semangat perpaduan dan kemesraan di kalangan penduduk.

AJK Tanah Wakaf seperti Tn Hj Sahudina, Tn Hj Jaafar serta AJK lain turut bersama-sama melakukan kerja ini secara beramai-ramai. AJK turut menyediakan minuman dan makanan ringan sebagai hidangan setelah penat melakukan tugasan ini.




Kira-kira jam 11.00 pagi kawasan tanah wakaf seluas satu ekar telah  berjaya dibersihkan. Semoga amalan seperti ini terus diamalkan dan menjadi teras perpaduan masyarat KTSD.
























SAMBUTAN MAULIDUL RASUL KTSD

KTSD melaksanakan sambutan Maulisur Rasul pada 16  Januari 2016. Sambutan kali ini dibuat secara sederhana sahaja. Bagaimanapun sambutan yang diadakan selepas solat Maghrib ini mendapat sambutan yang menggalakkan penduduk KTSD.



Majlis bermula dengan bacaan Barzanji oleh Kumpulan Barzanji KTSD. Tn Hj Sahudina memulakan bacaan diikuti Ustaz Suhaimi selaku pembimbing kumpulan ini. Perawi seterusnya Tn Hj Wahid diikuti Tn Hj Azhari.



Semua peserta kemudiannya berdiri diikuti semua hadirin apabila alunan selawat dibacakan. Gema alunan marhaban memberi semangat kepada sekelian hadirin menghayati sambutan Maulirur Rasul kali ini.




Selesai alunan marhaban giliran Ustaz Azrae Abd Haq mengalunkan bacaan rawi yang menjadi kemuncak bacaan barzanji kali ini.



Atucara seterusnya ialah bacaan kitab suci AlQuran oleh peserta Naib Johan Kebangsaan 2015 bagi katogeri kanak-kanak MTQ. Beliau ialah Mohd Asyraf bin Azraie.

Selepas solat Isyak sampailah slot ceramah maulud yang disampaikan oleh Ustaz Haris Mahat dari Jabatan Agama Islam Negeri Melaka.


Kira-kira jam 10.00 malam majlis berakhir dengan jamuan makan.

No comments:

Post a Comment