2 Jan 2013

AKTIVITI DAN PROGRAM 2013

HARI KELUARGA KTSD 2013 DISAMBUT MERIAH

29 Disember 2013 - Kira-kira 200 orang warga KTSD membanjiri Kawasan padang dan Gelanggang Futsal, bagi meraikan sambutan Hari Kelurga dan Perasmian Gelanggang Futsal KTSD. Hari Keluarga  diadakan bertujuan untuk mewujudkan satu platform semangat muhibbah dan setia kawan antara warga KTSD dan ahli keluarga. Matlamatnya adalah untuk menekankan pentingnya keluarga dalam kehidupan sehari-hari dan merapatkan lagi hubungan sesama anggota keluarga. Semangat perpaduan jelas terjalin bagi seluruh penduduk merupakan objektif utama program ini.

Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi dimulakan dengan senamrobik sebagai aktiviti memanaskan badan. Aktiviti selanjutnya kaum lelaki mejalankan pertandingan futsal manakala kaum perempuan bersukaneka. Aktiviti paling lucu ialah ketika aktiviti menghias bapa dengan baju kertas.. ADUN Serkam YB En Zaidi Atan telah hadir merasmikan program Hari Keluarga tahun ini. Kira-kira jam 1.00 petang program ini melabuhkan tirai dan kami pulang membawa kenangan manis tahun 2013.

Senamrobik
Futsal bagi kanak-kanak, remaja dan dewasa lelaki.

Hias bapaku.







2 WARGA KTSD BERJAYA MENERIMA IJAZAH DALAM MAJLIS PENYAMPAIAN IJAZAH TALAQQI AL-QURAN BERSANAD 2013.



Uztaz Hj Zulkifli b. Yusof menerima ijazah daripada Sheikh Abd Rahman
Majlis ini berlangsung pada 10 Dis 2013 jam 8.00 malam di Balai Islam Serkam telah dihadiri Sheikh Abdel Rahman b. Muhamad Amen dari Mesir.Majlis ini dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh juara-juara tilawah kebangsaan, antaranya Ustaz Azraie, Mohd Amnan dan Nurul Athirah Azraie. Sheikh Abdul Rahman turut menyumbangkan suaranya dalam majlis ini. 
Ustaz Awaluddin antara penerima Ijazah.  
Semoga lebih ramai permata yang dapat menerangi kehidupan kita di dunia dan akhirat.



PENUBUHAN PERSATUAN BELIA MAYC KTSD (Persatuan Belia Taming Sari)


Pada 9 Nov 2013 AJK Jiran Muda bersama AJK KRT KTSD telah berjaya menubuhkan Persatuan Belia dikenali sebagai Persatuan Belia Taming Sari. Mesyuarat penubuhan pada jam 9.00 malam itu turut dihadiri Pengerusi Persatuan Belia MAYC Negeri Melaka En Azman Abdullah serta Pengerusi Persatuan Belia MAYC Jasin En Zulfahmi b. Ab Rahim.  

Para tetamu yang hadir
Sebahagian ahli belia yang hadir mendengar taklimat


AKTIVITI JIRAN WANITA


Kursus anjuran Jiran Wanita berlangsung pada 3 Nov 2013 di Surau KTSD. Kursus ini dihadiri kira kira 30 orang warga KTSD. Fasilitator yang hadir memberi panduan ialah Pn Hjh Aminah bt Adom . 
Penganjuran Kursus Pengurusan Jenazah



SAMBUTAN AIDILADHA 1434 H
Ustaz Hasanuddin AlHafiz selaku Imam Solat Sunat Aidiladha pada 15 Okt 2013
Sebahagian daripada jemaah surau
Tahun ini dua ekor lembu melengkapi ibadah kurban
 
Gotong-royong memotong daging kurban.

 
MAJLIS WALIMATULURUS AZIZUL DAN NORRAIHAN PADA 13/10/13

Ketibaan pengantin di rumah Tn Hj Wahid
Persembahan Kumpulan Qasidah KTSD satu penampilan baru

Suasana malam kenduri
Tn Hj Sahudina sedang menjual pantun kepada orang KL
Kehadiran kaum keluarga memeriahkan suasana.


SAMBUTAN AIDILFITRI KTSD 1434H (2013)


Kalimah ’Id (Bukan Aid) ialah kalimah bahasa Arab yang bermaksud perayaan atau hari ulang tahun. Fitri pula bermakna berbuka atau makan minum. Maksudnya, pada Hari Raya (tanggal 1 Syawal) umat Iislam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa. Kesimpulan bahawa ’Idil Fitri adalah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu ammarah sepanjang bulan Ramadhan. Apabila muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka septutnya benar-benar menjadi orang yang takwa.

Bertakbir di rumah Tn Hj Mohideen

Warga KTSD memulakan sambutan Aidilfitrilfitri tahun ini dengan amalam bertakbir pada malam hari raya. Bermula dengan takbir selepas solat Isyak di surau, sebilangan warga KTSD bertakbir dari rumah ke rumah. Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan.



Pada pagi Syawal surau KTSD dipenuhi kehadiran penduduk dari segenap lapisan lelaki mahupun wanita. Alangkah meriahnya pagi  itu semua hadirin memakai baju berwarna warni serba baru. Wajah-wajah ceria menghiasi hari raya tahun ini. Kami menunaikan solat Idulfitri sebagai pengisian utama sambutan Syawal.

Seperti tahun-tahun lepas warga KTSD akan menyambut Syawal dengan sambutan marhaban dari rumah ke rumah. Amalan ini akan dilakukan pada tiap-tiapmalam selepas solat Isyak. Hampir semua penduduk anak-anak dan ibu bapa akan bermarhaban  dari rumah ke rumah, ziarah- menziarahi antara tetangga kejiranan  disertai dengan bacaan marhaban dan Selawat ke atas Nabi. Tahun ini program marhaban bermula pada 11 Syawal dan dijadualkan sehingga 22 Syawal. Sebenarnya amalan ini agak unik kerana jarang dilakukan di tempat-tempat lain. Amalan ini telah diamalkan setiap tahun bermula pada tahun 1995. Perkataan marhaban itu sendiri merupakan perkataan Bahasa Arab yang bermaksud 'selamat datang'. Boleh dikatakan sebagai mengalu-alukan kedatangan para tetamu berkunjung ke rumah. Tambah meriah lagi lagu-lagu qasidah akan dialunkan pada rumah terakhir kunjungan setiapmalam.



Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. 
Kumpulan Ya Hanana Junior buat persembahan qasidah.
Aturcara kemuncak sambutan hari raya tahun ini ialah pada Majlis Sambutan Perdana yang diadakan pada 6 Sept di Balai Raya KTSD jam 9.00 malam.  

Sambutan kali ini paling meriah terutama kehadiran warga taman yang paling ramai. Turut hadir ialah ADUN Serkam YB Zaidi  Atan serta Penghulu Serkam En NorAzmi Mahmud. Terima kasih kepada jawatankuasa dan warga taman yangtelahbersusah  payah menyediakan pelbagai persiapan berupa juadah makanan serta keceriaan balai. Pada malam itu juga julung-julung kalinya dihidangkan persembahan qasidah oleh anak-anakwarga taman serta alunan marhaban seluruh warga taman.     
Persembahan qasidah dan marhaban
MC



Pengerusi KRT
YB Zaidi dan Penghulu

Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w



MENGHAYATI KEHADIRAN RAMADHAN

Dengan kedatangan bulan Ramadhan yang penuh berkat dan hari-hari yang berlalu dengan pantas, sama-samalah kita mengambil kesempatan untuk mengisi jiwa kita dengan amal dan penghayatan kepada amalan yang kita lakukan. Semoga amal yang dilakukan adalah benar, menepati kehendak agama dan diterima Allah SWT.

Dan mudah-mudahan dengan keikhlasan dan kesabaran kita dalam melaksanakan amalan dan menuntut ilmu, Allah memberi keberkatan dan rahmatNya ke atas diri kita pada Ramadhan tahun ini kerana belum pasti kita akan bertemu Ramadhan tahun depan.

Tahun ini ahli jemaah Surau KTSD berpeluang menjalani solat tarawih di bawah pimpinan Ustaz Hasanuddin AlHafiz. Pengisian ramadhan turut diisi dengan slot tazkirah oleh Ustaz Hasanuddin sendiri. Disamping itu malam-malam Ramadhan dilengkapi dengan bacaan tahlil dan doa untuk para arwah keluarga warga taman. Jutaan terima kasih juga kepada para dermawan yang bermurah hati setiap malam menyediakan moreh untuk para jemaah.
Majlis berbuka puasabersama Ustaz Salleh dan PelajarTahfiz Jasin
Antara pelajar pondok tahfiz yang hadir

Setiap malam kira-kira dua puluh orang warga taman akan melengkapi  pengisian ramadhan dengan tadarus AlQuran. Inilah peluang dan kesempatan yang terbaik kepada pembaca untuk saling menegur dan mambaiki kesalahan bacaan kitab suci  ini.
Tadarus AlQuran
Ustaz Hasanuddin AlHafiz memimpin bacaan tadarus

Seperti pada tahun-tahun lepas, kali ini program Ihya’ Ramadhan diisi denga slot ceramah oleh Ustaz Abu Hassan bin Minal dari Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Melaka pada 26 Julai 2013.
Malam Ihya'Ramadhan

Sambutan Ramadhan tidak lengkap tanpa Majlis Khatam Quran yang pastinya dijalankan setiap tahun. Tahun ini majlis khatam dilaksanakan pada malam 28 Ramadhan.  Disamping itu amalan qiamullail tidak dilupakan bagi melengkapi penghayatan Ramadhan tahun ini. 
Majlis Khatam selepas 30 juzuk tadarus selesai

Terima kasih kepada AJK Surau di bawah kepimpinan Tn Hj Muhamad Bakar mengaktifkan program Ramadhan tahun ini. Semoga kehadiran Ramadhan tahun ini memberi seribu pengertian serta menambah keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah demi memartabatkan ketinggian Islam. Wahuaalallaam.




SAMBUTAN MALAM NISFU SYAABAN

Alhamdulillah, Sekali lagi kita telah diberi peluang dariNya untuk sampai ke Bulan Syaaban pada tahun ini. Seperti tahun-tahun lepas AJK Surau dan warga KTSD menyambut malam istimewa ini, Malam Nisfu Syaaban pada malam Isnin 23 Jun 2013 bersamaan 15 Syaaban 1434H.  Majlis malam itu diserikan lagi dengan kehadiran Ustaz Salleh Hamzah bersama beberapa orang pelajar tahfiz. Ustaz dan para jemaah melakukan solat Maghrib diikuti bacaan syrah Yasin dan doa sebanyak tiga kali.

Amalan malam Nisfu Sya'ban :  Membaca surat Al-Fatihah & Yasin sebanyak 3 kali dengan dihadirkan niat berikut :
1] Niat pertama memohon untuk dipanjangkan umur dalam ketaatan.
2] Niat kedua memohon diberi rezeki yang banyak dan barokah.
3] Niat terakhir memohon ditetapkan iman



Bulan Syaaban adalah bulan persediaan menyambut kehadiran Ramadan sebagai bulan pembakaran dosa. Oleh itu kita wajar menyambutnya dengan hati yang ikhlas dan gembira.



Mari kita ikuti Pesanan Al Habib Ali Zaenal Abidin Bin Abu Bakar Al Hamid berkenaan Malam Nisfu Syaaban: Daripada Abu Hurairah r.a : Rasulullah SAW Yang bermaksud :
Jibril a.s pernah datang kepadaku pada malam Nisfu Sya'ban seraya berkata : Wahai Muhammad, inilah malam yang dibuka padanya pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat. Maka bangunlah kamu, bersolatlah dan angkatlah kepala dan kedua tanganmu ke langit. Maka aku bertanya: Wahai Jibril malam apakah ini? Maka jawabnya : Inilah malam yang dibuka padanya 300 pintu rahmat, ALLAH SWT mengurniakan keampunan bagi mereka yang tidak menyekutukan sesuatu dengan-NYA dan rahmat ini tidak diberikan kepada tukang sihir, tukang tenung nasib, orang yang bermarah-marahan, orang yang kekal meminum arak, orang yang berzina, orang yang makan riba, orang yang derhaka kepada ibu bapanya, tukang mengadu domba dan orang yang memutuskan silaturrahim. Maka sesungguhnya mereka itu tidak diampunkan sehingga mereka bertaubat dan meninggalkan perbuatan tersebut.

Lalu Nabi SAW pun keluar dan bersolat sambil menangis dalam sujudnya dan diucapkannya : "Sesungguhnya aku berlindung kepada ENGKAU daripada seksaan dan kemurkaan-MU. Dan tidaklah aku dapat menghitung segala pujian kepada-MU, sebagaimana ENGKAU memuji diri-MU sendiri maka bagi-MU segala pujian sehingga ENGKAU redha".   

Selepas solat Isyak semua jemaah menikmati jamuan ringan. Pada awal pagi pula kira-kira dua puluh orang warga KTSD dapat melakukan qiamullail di bawah pimpinan Ustaz Hasanuddin AlHafiz. Mudah-mudahan amalan dan usaha ini diberkati dan di rahmati Allah Subhanahu wataala.





SAMBUTAN ISRAK MIKRAJ 1434H

Ustaz Hj Mohd Sani sebagai pengerusi
AJK Surau KTSD  berjaya menganjurkan Sambutan Israk Mikraj sebaik lepas soalt Maghrib pada 10  Jun 2013 di Surau KTSD. Objektif program ini semata-mata untuk menambah ilmu pengetahuan dan pemahaman kepada  semua yang hadir mengenai pengajaran di sebalik Peristiwa Israk Mikraj serta menimbulkan keinsafan hadirin yang hadir malah mengakui bahawa perkara-perkara yang berlaku semasa Peristiwa Israk Mikraj itu, ada maksud yang tersirat yang perlu di fahami setiap insan.

Penceramah Ustaz Mohd Hatta
Ustaz Mohd Hatta b. Abd Rahim dari Madrasah Tambak Bugis telah diundang sebagai penceramah jemputan pada malam itu. Penceramah berjaya menyentuh sanubari pendengar tentang peristiwa 27 Rejab itu dalam ceramahnya. Majlis ini telah dipengerusikan oleh Ustaz Hj Mohd Sani b. Bidin.

Sebahagian tetamu yang hadir


Selepas solat Isyak semua hadirin menikmati jamuan makan yang disediakan serta sumbangan warga taman. Semoga sambutan seperti ini dapat membina insan yang mulia.



DEMONSTRASI MEMASAK DAN KECERIAAN

KRT KTSD yang diterajui oleh Jiran Wanita telah berjaya menganjurkan program memasak,  khususnya kuih tradisional "Kuih Denderam". Generasi sekarang terutama golongan muda kerap terlupa akan wujudnya masakan serta kuih-kuih tradisi seperti kuih denderam ini. Sehubungan  itu Jiran Wanita yang diketuai Cikgu Rosnaini Tunggak telah menjemput Pn Hjh Saemah bt Md Nor (isteri En Karim Jantan) untuk memberi tunjukajar kepada peserta bagi membuat kuih tradisional ini. Kira-kira 30 orang jiran wanita telah mempraktikan sendiri penghasilan kuih ini di Balai Raya KTSD pada 12 Mei lalu. Program yang bermula jam 9.00 pagi telah berakhir pada jam 2.00 petang.


Hjh Saemah sedang membuat demonstrasi buat kuih denderam
'Ketua memberi arahan kot'
Peserta sedang tekun membuat kuih
Inilah hasilnya 'Kuih Denderam"
Satu kepuasan dikalangan peserta
Pada masa yang sama warga KTSD khususnya kaum bapa telah sama-sama bergotong-royong membersih dan menceriakan kawasan balai raya. Persekitaran balai raya ditanam pokok-pokok herba serta dihiasi pokok bunga dalam pasu.  



Sesungguhnya samua aktiviti ini menambahkan erat semangat perpaduan dan kemesraan dikalangan warga KTSD. Jalinan persaudaraan dan semangat kejiranan jelas terpancar melalui aktiviti kemasyarakatan yang telah dilaksanakan. Diharapkan lebih ramai lagi warga KTSD yang akan turut menyertai apa jua program yang dilaksanakan agar semangat perpaduan dan kejiranan ini semakin utuh dalam sanubari seluruh warga KISD.



KARNIVAL FUTSAL DAN BOLA JARINGF KTSD 2013
AHAD 24 MAC 2013

          Seawal jam 7.30 pagi lagi warga KTSD segenap lapisan telah memenuhi perkarangan Gelanggang Futsal Taman Pulai Indah.  Semuanya datang dengan semangat berkobar-kobar bagi merangkul kejuaraan kejohanan tertutup yang julung-julung kali diadakan. Para pemain telah bersiap sedia dengan pakaian sukan mengikut warna pasukan masing-masing. Bagaimanapun tujuan utama kami ialah untuk menjalin hubungan kejiranan di samping menghilangkan stress dan berriadah.
Pasukan "HARIMAU KOPERASI' muncul Naib Juara.
Pasukan ROYAL FC
Team Cilik

              AJK KRT KTSD telah merancang program ini sejak awal tahun lagi. Diucapkan tahniah dan syabas kepada AJK Sukan dan Rekreasi Tn Hj Johari b. Mohd Sood telah menerajuai program ini sehingga dapat direalisasikan dengan jayanya.

          Bermula dengan aktiviti memanaskan badan, semua pemain memberikan kerjasama yang amat menggalakkan. Permainan Futsal dan Bola Jaring bagi wanita telah dimulakan seawal jam 8.00 pagi. Kedua-dua permainan ini amat menarik kerana telah dapat mencungkil minat dan bakat yang tidak kurang hebatnya. Sesungguhnya kami amat kagum dengan mutu permainan yang seakan-akan setaraf pemain semipro. Cuma bakat dan kebolehan ini tidak berkesempatan untuk diketengahkan. Bagaimanapun mereka bermain dengan penuh semangat kesukanan yang mengutamakan keselamatan dan mutu permainan.

            Kira-kira jam 11.30 pagi sampailah acara kemuncak Karnival Futsal apabila dua pasukan Luna Maya FC dan Harimau Koperasi FC bertemu dalam pertandingan akhir.Kedua-dua pasukan sememangnya menunjukkan mutu permainan yang amat menarik. Jaringan gol silih berganti sehingga tamat permainan berkesudahan dengan jaringar seri 3 sama; Akhirnya permainan diteruskan dengan kiraan 'sudden death' dan kemenangan berpihak kepada Pasukan Luna Maya. Tahniah.

          Sebelum berakhirnya program, tetamu undangan ADUN Serkam, YB Datuk Ghazali b. Mohamad telah berkesempatan hadir menyaksikan perlawanan. Seterusnya YB Datuk berkesempatan memberi ucapan dan menyampaikan hadiah kepada pemenang. Namun begitu semua pemain berjaya membawa pulang cenderamata menarik sempena karnival ini. Hadiah cabutan bertuah juga tidak ketinggalan disampaikan kepada yang berjaya. Kira-kira jam 12.30 tengah hari Karnival Futsal Dan Bola Jaring melabuhkan sayapnya, Semua pemain dan penyokong kira 150 orang mengemaskan gelanggang sebelum meninggalkan Taman Permainan Pulai Indah dengan kenangan manis yang sukar dilupakan.









PROGRAM ENGLISH CAMP DAN KEM BINA INSAN
3 MAC 2013

               KRT KTSD berjaya melaksanakan program ini bagi memberi suntikan semangat kepada generasi muda berminat dan berusaha untuk menguasai Bahasa Inggeris. 35 orang pelar dari KTSD telah menyertai program ini disamping 15 orang murid lagi dari KRT Taman Seri Serkam, KRT Serkam Ria dan KRT Taman Pulai Indah. Program ini dikelolakan oleh guru berpengalaman Pn Hjh Fauziah Ali dan dibantu oleh Dr Mariana serta Cik Norhayati Kamisman. Keseluruhan program mendapat sambutan baik daripada peserta kursus dan peserta juga berjaya memberi tindakbalas positif semasa sessi perbengkelan dan persembahan. Wakil pegawai Jabatan Perpaduan Jasin, En Mustafa Haron telah hadir menyaksikan sebahagian program.
                





 Pada sessi kedua,murid-murid diberi santapan rohani menerusi tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Muhamad Redzuan dari IPPM Melaka. Majlis berakir kira-kira jam 2.00 petang sebaik sahaja selesai bersolat zohor.

                    Terima kasih kepada semua AJK yang telah bersusahpayah membuat pelbagai persediaan bagi memastikan program berjalan lancar.







MAJLIS WALIMATULURUS


Muhammad Taufiq & Siti Khadijah

10 Februari 2013 (Ahad)

 Majlis walimatulurus di rumah Tn Hj  Mohamad Ibrahim dan Pn Rosnani Tonggak berlangsung dalam suasana yang meriah sekali. Pelbagai hidangan disediakan berkonsepkan warong atau stall tersedia untuk pilihan tetamu. Bermula dengan majlis akad nikah kira-kira  jam 10.00 pagi, diikuti perarakan kedua mempelai  dan bersanding. Disamping itu majlis diserikan lagi dengan alunan qasidah dan nazam dari Kumpulan Sautu Serkam. Semoga kedua-dua pengantin bahagia berkekalan.


 


 






SAMBUTAN MAULIDUL RASUL 1434 H

Perarakan mengelilingi taman
                     Sempena dalam bulan yang mulia ini  Rabiulawal disambut meriah di KTSD dengan sambutan Maulidul Rasul. Tahun ini kami menyambutnya pada 27 Januari 2013 bersamaan 15 Rabiul Awal 1434H. Saban tahun kami menyambut tarikh keramat ini. Kelahiran yang membawa berjuta rahmat untuk sekalian alam. Tanggal 12 Rabiulawal kalendar hijriah laungan selawat pasti kedengaran. Betapa indahnya lantunan itu. Wahai generasi baru pemangkin masyarakat kini, ayuh bangkitlah kenalilah siapakah kekasih ALLAH ini. Salamun alaika ya Rasulullah!.

Tn Hj Muhamad Pengerusi Surau
                    Bermula seawal jam 8.00 pagi warga KTSD telah berkumpul di Balai Raya sebagai lokasi sambutan. Kira-kira jam 8.15 pagi hampir 200 orang terdiri dari semua lapisan umur mula berselawat dan berarak mengelilingi taman. Perarakan ini turut disertai Ustaz Salleh serta pelajar-pelajar Pondok Tahfiz Air Kangkung menjadikan sambutan pada tahun ini lebih meriah dan penuh iktibar. Sepanjang perjalanan kami berselawat dengan alunan yang syahdu tanpa penat dan jemu. Gema memuji Rasul junjungan berkumandang di udara yang memberi impak keinsafan warga KTSD. Di tengah perjalanan persimpangan Jalan Bayan dan Jalan Nuri, kami berhenti sebentar menghilangkan kepenatan. Terima kasih kepada warga taman yang telah bermurah hati mendermakan air minuman dan limau mandrin yang sememangnya hidangan sangat istimewa pagi itu. Kira-kira dua puluh minit berehat kami meneruskan perarakan sehingga kembali ke Balai Raya KTSD kira-kira jam 10.00 pagi.
Kaum wanita turut setera

                Setelah berehat sebentar, aturcara diteruskan di  Balai Raya KTSD, bermula dengan bacaan ayat-ayat suci Oleh Ustaz Azrae b. Abd Haq. Kemerduan suara serta taranum yang mengasyikkan ini menjadikan sambutan semakin hebat. Ini ditambah pula dengan gelagat pengacara pagi itu Ustaz Sani Bidin yang telah memberi ulasan disamping gurauan aneka cuitan kata.


Pelbagai generasi menyambut Maulidul Rasul

                   Selesai bacaan Al-Quran, kami berpeluang mendengar tazkiran daripada Ustaz Salleh Hamzah dari Pondok Kemengkang Jasin. Tazkirah yang disampaikan bagaimana Rasulullah berjaya menahan sabar dengan pelbagai cabaran pada zaman bermulanya penyebaran Islam. Warga taman menghayati sepenuhnya ceramah yang disampaikan, semoga dapat memberi kesan dalam sanubari.
Tazkirah oleh Ustaz Salleh

                 Seterusnya pelajar-pelajar Pondok Kemengkang telah mengalunkan Qasidah yang sememangnya menjasdi halwa telinga dan tidak jemu mendengarnya. Satu demi satu qasidah dialunkan dalam pelbagai rentak semata-mata bagi memuji keagungan Rasulullah, sebagai Rasul seluruh ummah.
Persiapan jamuan

Warga KTSD mendengar tazkirah.
                    Akhir sekali kira-kira jam 12.00 tengah hari majlis berakhir dengan jamuan makan. Semua warga taman dan tetamu menikmati jamuan makan yang disediakan oleh Kumpulan Wanita KRT KTSD. Semoga sambutan kali ini dapat meniupkan semangat ukwah warga taman, menjalin semangat kerjasama dan menambah keimanan yang tinggi. Amin.

























MAJLIS RAMAH MESRA PENDUDUK DAN 
PENYAMPAIAN HADIAH KECEMERLANGAN UPSR & PMR 2012

              Majlis ini berlangsung pada 19 Januari 2013 di Balai Raya KTSD. Kira-kira 80 orang warga KTSD telah hadir yang bermula kira-kira jam 9.30 malam. Tetamu kehormat turut diundang iaitu ADUN Serkam YB Datuk Ghazale Mohamad serta Pegawai Perpaduan Daerah Jasin En Mustafa Haron. Sempena dengan ini majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil Pelantikan AJK KRT Tahun 2013-2014. Tidak ketinggalan anak-anak  warga taman yang cemerlang dalam UPSR dan PMR tahun 2012  diberi sumbangan sebagai motivasi dan galakan. Pada tahun 2012 seramai 4 orang memperoleh 5A dalam UPSR manakala 10 orang cemerlang PMR minimum 7A.


Tetamu dan AJK
YB Datuk Ghazale dan En Mustafa













Warga KTSD danAJK KRT
Hadiah Kecemerlangan



























MAJLIS PELANTIKAN AJK KRT KTSD 2013-2014

            Pada 19 Januari lalu Pejabat Perpaduan dan Integrasi Nasional  Daerah Jasin telah melantik AJK KRT KTSD bagi Sessi  2013 hingga Disember 2014. Barisan AJK merupakan orang lama tetapi beberapa pindaan telah dijalankan bagi melancarkan lagi pengurusan organisasi. Pegawai Jabatan Perpaduan Daerah Jasin En. Mustafa Haron telah melaksanakan urusan pelantikan ini di Bilik Mesyuarat Balai Raya KTSD pada jam 9.00 malam. En Mustafa memberi taklimat tentang pentingnya semangat kerja sepasukan bagi memastikan program berjalan dengan lancar. Tn Hj Mohamad Ibrahim telah dilantik sebagai Pengerusi manakala Tn Hj Wahid Rakob selaku Setiausaha.
Taklimat oleh En Mustafa Haron
Pengerusi Tn Hj Mohamad Ibrahim
Naib Pengerusi En Hassan

Pen S/Usaha: En Ahmad Hamid












Tn Hj Wahid: Setiausaha
Bendahari En Khalil


AJK Pembangunan Th Hj Sahudina
AJK Sukan Tn Hj Johari












En Muhamad Mahat AJK Kebudayaan
En Sumadi Jiran Usia Emas

Tn Hj Muhamad AJK Surau dan Hj Rahman Pem Kira2
Zuhri, Izzuddin dan Ikram Biro Jiran Muda
En Ibrahim Biro Keselamatan
En Salleh Pem Kira-Kira
AJK  Sosial Tn Hj Zakariah

Pn Rosnani Biro Jiran Wanita
Pn Munirah AJK TunasJiran
Pn Masita Biro Pendidikan








































No comments:

Post a Comment