2 Jan 2013

SEJARAH & LATAR BELAKANG





Objektif
Memelihara, meningkat dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar kerajaan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

VISI
Menjadi agensi peneraju utama untuk memelihara, meningkat dan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat di Malaysia. 

MISI
Mempertingkatkan dan memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berasaskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Gagasan 1 Malaysia.




MOTO
" BERSATU KITA MAJU "




SEJARAH KAMPUNG TERSUSUN SERKAM DARAT


Kampung Tersusun Serkam Darat (KTSD) lebih dikenali sebagai Taman Koperasi di kalangan penduduk tempatan. Terletak kira-kira 15 kilimeter dari Bandaraya Melaka ke arah selatan sebelum Bandar Merlimau. Pemanduan melalui Lebuhraya AMJ ke selatan akan bertemu persimpangan  Serkam menghala ke kanan. Kira-kira 5 kilometer sampailah ke Pekan Serkam, dan KTSD terletak 2 km lagi di Kg Serkam Darat.

Terletak di kawasan berbukit di Bukit Serkam, di sinilah dulunya sebuah kawasan ladang getah yang agak terpencil. Pada awal 1980an Koperasi RISDA Melaka diterajui Datuk Penghulu Abd Majid dan Pengerusi JKKK Serkam Darat Sidang Md Yasak,  telah  mengambil inisiatif  membeli kawasan ladang ini berkeluasan kira-kira 100 ekar ini untuk dibangunkan sebagai lot perumahan. Akhirnya setelah melalui pelbagai rintangan usaha murni ini berjaya diluluskan oleh Kerajaan Negeri Melaka. Maka bermulalah wujudnya sebuah penempatan baru di Serkam khususnya bagi ahli Koperasi Risda. 

Sejumlah 394 lot tapak  perumahan berkeluasan kira-kira 1/4 ekar setiap satu kini menggantikan ladang getah milik Koperasi RISDA Melaka,yang juga menjadi lokasi ternakan lembu penduduk serkam dahulunya. Setiap satu dijual oleh Koperasi Risda antara RM 8000.00 hingga RM 10,000.00. Namun penjualanya agak lembap dan kurang menarik minat para pembeli atau pemaju. Mereka merasakan kawasan ini amat terpencil sehingga menjadikan Taman Koperasi ketika itu sebagai taman belukar atau hutan kecil.

Pada tahun 1990 prasarana mula diwujudkan.  Jalan utama telah dibuka yang berupa lorong-lorong traktor yang apabila hujan tiada kenderaan dibenarkan masuk. Sehingga tahun 1992 maka terpancarlah harapan apabila En. Zakariah Jantan (HJ Zakariah) mula membina rumah dan seterusnya menjadi penduduk pertama di sini. Selepas itu pemilik-pemilik lain mula berhasrat untuk menemani En Zakariah seperti En Hashim Sulaiman  (Arwah) En Karim Jantan, En Ahmad Hamid dan lain-lain. Peneroka awal inilah yang merasakan pahit getir keadaan di sini dengan keadaan yang sunyi sepi terutama menjelang petang dan malam hari. Kedaan jalan bagai laluan pacuan empat roda, serta kemudahan api air yang amat terhad. Terima kasih kepada peneroka awal yang sanggup melalui segala pengalaman ini.

Kerjasama Persatuan Penduduk yang diketuai En Daut Yusof (Tn Hj Daut), dan Pengerusi UMNO Cawangan Taman Koperasi  Tn Hj Sahudina Ardin, pada tahun 1993 jalan tanah merah mula dibina di laluan utama Jalan Nuri dan Jalan Bayan. Kemudahan air masih lagi menggunakan sambungan paip PVC dari arah kampung tradisi. Bagaimanapun beberapa tahun kemudian, setelah puas naik turun pejabat di Jasin, Pejabat Ketua Menteri malah sehingga ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Kuala Lumpur akhirnya jalan berturap mula dibina, begitu juga kemudahan elektrik dan paip air. Taman Koperasi mula terserlah dan bertambah ceria.  

Hari berganti bulan, bulan berganti tahun, Taman Koperasi semakin mendapat keyakinan pemilik tanah dan pemerhati luar. Satu demi satu lot banglow dibangunkan rumah-rumah moden pelbagai rekabentuk dibina dengan gahnya. Pada tahun 1996 hampir semua jalan telah berturap. Kemudahan elektrik dan air juga telah dibekalkan dengan sempurna kepada semua penduduk. Menjelang tahun 1998 bilangan rumah telah melebihi 40 buah. Suasana kampung semakin ceria walaupun pokok merimbun belum menjadi lagi. Dari kawasan puncak nampak saujana mata memandang apabila dapat menikmati keindahan Pulau Besar mahupun Gunung Ledang dari halaman rumah sahaja.

Sempena Sambutan Hari Raya Idilfitri Tahun 1995, Koperasi Risda bersama  Jabatan Risda negeri Melaka telah mengambil inisiatif  untuk memperkenalkan lagi taman ini kepada masyarakat luar. Majlis Perasmian Pembukaan Taman Koperasi mendapat sambutan yang amat meriah. 12 peneroka awal menerima cenderamata jam dinding sebagai hadiah nostalgia ini. Majlis dihadiri oleh penduduk Kampung Serkam Darat, para jemputan luar, semua pendudik KTSD mahupun pemilik tanah yang  belum mendirikan rumah serta keluarga masing-masing. Majlis telah dirasmikan Timbalan Perdana Menteri YAB Datuk Ghafar Baba.

Nama Taman Koperasi sememangnya telah dikenali umum. Namun begitu atas kehendak Kementerian Pembangunan Luar Bandar, tempat ini wajar ditukar nama dan dicadangkan sebagai Kampung Tersusun Serkam Darat. Inilah antara syarat yang diberikan pihak kementerian untukmembantu pembinaan jalan di taman ini. Sehingga bulan Disember 1995 hampir 80% rezab jalan telah berturap. Jadi inilah antara pengorbanan penduduk yang terpaksa menukar nama kawasan perumahan ini. Begitulah rentetan sejarah termaktubnya naka Kampung Tersusun Serkam Darat (KTSD). Walaupun KTSD telah dikenali umum namun  tidak kurang yang masih mengekalkan alamat Taman Koperasi dalam hal surat menyurat malah menjadi satu sinonim yang tidak dilupakan.

 Setelah lebih dua abad KTSD dibangunkan, kini sejumlah 146 buah keluarga telah mendiami kawasan perumahan ini. Kebanyakan penduduk adalah kaki tangan kerajaan khususnya kalangan guru. Selain itu terdapat juga golongan profesional lain seperti doktor, jurutera, polis dan tentera. Tidak kurang juga dari kalangan usahawan dan kontraktor. 100 peratus penduduk adalah bumiputera, namun terdapat pelbagai dielak dan latar belakang. Sebahagiannya berasal dari Johor, Kelantan, Kuala Lumpur atau Sabah dan Sarawak. Sebenarnya penduduk yang berasal dari Serkam sendiri amat kurang. Kehadiran penduduk dari pelbagai daerah inilah menjadi pemangkin semangat perpaduan penduduk semakin erat.

Perubahan wajah dan aktiviti penduduk tidak dapat dipisahkan daripada semangat perpaduan dan kerjasama penduduk. Selain Badan Kebajikan terdapat beberapa pertubuhan di bawah naungan seperti Badan Surau, Tabung Khairat Kematian, dan Badan Tanah Wakaf. Semangat perpaduan inilah mendorong pelbagai aktiviti seperti penubuhan Kelab Kompang, Persatuan Kendarat Wanita, Kumpulan Nazam Sautu Serkam dan yang terkini Kumpulan Qasidah. Dalam Pertandingan Nazam tahun 2007 Kumpulan Sautu Serkam di bawah pimpinan Ustaz Haris Mahat telah muncul juara negeri Melaka.  Pelbagai persembahan telah dipertonton oleh Sautu Serkam di peringkat negeri mahupun peringkat kebangsaan. Oleh kerana ramai penduduk berasal dari negeri johor, saban tahun apabila menjelang Hari  Raya Aidilfitri, seluruh penduduk  ibu bapa dan anak-anak akan mengadakan sambutan marhaban dari rumah ke rumah selain bertakbir pada malam raya pertama. Sambutan marhaban dilakukan selepas solat Isyak setiap malam sehingga penghujung bulan Syawal.   Majlis penutup akan diadakan di Balai Raya dengan sambutan yang amat meriah. Perayaan ini merupakan satu keistimewaan yang menjadi budaya tradisi di kampung ini yang patut dibanggakan.

Persatuan penduduk yang lebih dikenali sebagai Badan Kebajikan Penduduk telah ditubuhkan sekian lama. Adalah lebih relevan andainya persatuan penduduk dapat meluaskan penampilan dengan badan-badan daerah dan negeri. Atas kesedaran ini maka Badan Kebajikan berhasrat bernaung dengan Pejabat Perpaduan sehingga wujudlah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) KTSD pada tahun 2009. Sehingga kini Badan Kebajikan dan KRT telah diterajuai 7 orang pemimpin.

Sehingga tahun 1999              :  Tn Hj Daut b. Yusof
1999  - 2000                            :  Tn Hj Sahudina b. Ardin
2000 -  2002                            :  Tn Hj Shaari b. Amat
2002 -  2004                            :  Tn Hj Zainal  b. Ghalih
2005 -  2006                            :  Tn Hj Wahid b. Rakob
2007-   2011                            :  Tn Hj Ahmad Fuadi b. Kosni (meninggal dunia)
2011 -  2012                             :  Tn Hj Wahid b. Rakob (Memangku)
2013 .  2018                             :  Tn Hj Mohamad b. Ibrahim
2019 -  2021                             : Datuk Hj Zolkofli bin Hj Hashim 
2022 -  Kini                              : Dr. Ruzaidi b. Zamri                                    

Semoga Kampung Tersusun atau  Taman Koperasi akan terus maju sejajar dengan perkembangan zaman sama ada dari segi pembangunan fizikal, minda dan kerohanian warganya. Kini KTSD semakin menjadi perhatian umum setelah kawasan ini membangun dan  menjadi benchmark penduduk persekitaran. Sesungguhnya diharapkan paparan ini akan menjadi wadah pembaca menghayati segala peristiwa dan suka duka, bagi membina aspirasi dan semangat ukhwah khususnya di kalangan penduduk tempatan dan persekitaran. 

Salam.
Lot Tapak Perumahan KTSD (Taman Koperasi) Serkam Darat



No comments:

Post a Comment