2 Jan 2013

AKTIVITI DAN PROGRAM 2015






PROGRAM JOM KE SURAU ANJURAN AJK SURAU DAN KRT KTSD

Pada 8 hingga 10 Disember 2015 AJK Surau dengan kerjasama KRT KTSD telah berjaya melaksanakan program Jom ke Surau. Program ini dipimpin oleh AJK Surau diketuai Pengerusi Surau Ustaz Hasanuddin AlHafiz. AJK lain yang terlibat menjayakan ialah Tn Hj Johari Md Sood, Tn Hj Jenal Md Noh. Ustaz Alias Zaidi serta Pn Hjh Ruslina. Selain itu kumpulan remaja  turut membantu sebagai fasilitator sepanjang program.




Seramai 30 0rang kanak-kanak antara 7 hingga 14 tahun telah menyertai program ini yang memberi fokus kepada pemahaman dan pelaksanaan Fardu Ain dan akhlak seorang muslim. Program berakhir pada 10 Disember 2015  jam 1.00 tengah hari dengan perasmian penutup oleh wakil KRT Tn Hj Wahid  Rakob.






Semoga program seperti ini akan berterusan semata-mata untuk menanamkan semangat kecintaan terhadap keimanan dan keredaan Allah SWT.





PERSEMBAHAN BARZANJI DAN MARHABAN DI TAMAN SAUJANA BUKIT KATIL

Kumpulan Sautu Serkam KTSD telah berjaya melakukan persembahan sulung di luar kawasan atas permintaan Tn Hj Mohamad b. Bakar. Persembahan barzanji dan marhaban diketuai Ustaz Suhaimi telah berjaya membuat persembahan di Taman Saujana Bukit Katil pada 21 November 2011.

Insya Allah pada masa akan datang persembahan klami akan bertambah baik.











PASUKAN FUTSAL KTSD BAWAH 18 TAHUN NAIB JUARA 2015


Sempena sambutan Hari Sukan Negara 2015, Pasukan Futsal KTSD turut menyertai Pertandingan Futsal Anjuran KRT DUN Serkam yang bermula pada 10 Oktober 2015. KRT KTSD menyertai bagi ketiga-tiga katogeri iaitu Bawah 12 Tahun, Bawah 18 Tahun dan Team Senior.




Aktiviti Fit Club di bawah pimpinan En Saiful Azhar

Pertandingan katogeri bawah 12 Tahun telah dijalankan di Gelanggang Futsal Kampung Berangan Enam pada 10 Oktober. Bagaimana pun pasukan kami kurang bernasib baik dan gagal untuk ke pusingan separuh akhir.


Pasukan Bawah 12 Tahun

Pada 17 Oktober pula  berlangsung pertandingan bagi katogeri Bawah 18Tahun. Kali ini permainan berlangsung di Gelanggang KTSD bermula jam 9.00 pagi. Semua pemain begitu  bersemangat dan keadaan cuaca juga sangat baik. Selepas dilaksanakan program pemanas badan ‘Fit Club’ di bawah pimpinan AJK KRT En Saiful Azhar pertandingan terus dijalankan.


Antara AJK menjayakan program ini Tn Hj Sahudina, En Ibrahim dan Tn Hj Wahid


Kali  ini pasukan Bawah 18 Tahun  telah muncul juara dengan mengalahkan semua pasukan lawan bagi Kumpulan 2.
 
Pasukan Bawah 18 Tahun yang berjaya menjadi Naib Johan Katogeri
Danish Jamaluddin muncul  pemain terbaik Bawah18 Tahun
Pada 18 Oktober pula berlangsung pertandingan bagi katogeri dewasa 19 Tahun keatas. Kali ini pasukan kami berjaya muncul naib johan kumpulan dan berjaya juga melangkan ke pusingan separuh akhir.
 
Pasukan Atas 19 Tahun bersama pengadil dan Tn Hj Wahid di tempat ke-4 kejohanan
YB Datuk Wira Ahmad Hamzah merasmikan kejohanan

Perlawanan separuh akhir  dan akhir berlangsung di Gelanggang Futsal Taman Rimbunan Kasih Serkam. Pertandingan dijalankan secara kalah mati bermula jam 2.00 petang. Dalam pertandingan ini pasukan Bawah 18 Tahun kami muncul sebagai Naib Johan. Bagaimanapun pemain kami Danish Jamaludin telah dipilih sebagai pemain terbaik katogeri B18. Bagi katogeri Atas 19 Tahun kurang bernasib baik berjaya menduduki tempat keempat.



Aksi para pemain

Tahniah kepada semua pemain kerana telah menunjukan semangat sukan yang tinggi. Kepada AJK yang telah bertungkus lumus menjayakan program seperti Tn Hj Sahudina, En Ibrahim Dolah, Tn Hj Wahid, AJK Pemuda dan semua AJK yang menhulurkan  sumbangan dsan tenaga diucapkan setinggi-tinggi terima kasih. 








GOTONG ROYONG PADANG PERMAINAN KTSD



Pada 16 Oktober 2015 AJK Keceriaan KRT KTSD dengan kerjasama semua AJK, pemuda dan warga KTSD telah sekali  lagi  mengadakan program gotong-royong. Kali  ini kawasan utama ialah di padang permainan KTSD. Penduduk telah membersihkan sampah sarap serta memotong rumput di kawasan tersebut. Semoga kampung kita bersih dan ceria.


LAWATAN MESRA KE RUMAH AJK KESELAMATAN





Pada10 Okt 2015 sebilangan AJK diketuai pengerusi KRT, Naib Pengerusi, Setiausaha dan rakan-rakan sekampung telah membuat kunjungan mesra kerumah AJK Keselamatan En Norhisyam Sahut. Beliau mengalami sedikit kecederaan dan terpaksa berihat di rumah. Bagaimanapun keadaannya tidak membimbangkan. Diharapkan akan segera sembuh. 


HARI RAYA KORBAN PADA 24 SEPT 2015

Perayaan Hari Raya Idul Adha, merupakan salah satu dari syi’ar Allah SWT yang dihormati dan diagungkan oleh hamba-hambaNya. Selanjutnya guna menjalankan syi’ar Allah SWT tersebut, maka pada hari ini jutaan umat Islam dari beragam suku, bangsa dan ras serta dari berbagai tingkat sosial dan penjuru dunia berkumpul dan berbaur di Kota Suci Makkah untuk memenuhi panggilan Allah guna menunaikan ibadah haji dan sekaligus melaksanakan ibadah kurban.


Selain ibadah haji, pada hari ini umat Islam juga merayakan Hari Raya Idul Adha, seperti yang kita laksanakan pada hari ini. Guna menyambut dan menyemarakkan Hari Raya Idul Adha, dunia Islam disambut dengan lantunan takbir dan kumandang tahlil serta tahmid di iringi dengan tabuhan bedug yang menggema di seluruh jagad raya.  Suara takbir bersahut-sahutan mengajak kita untuk sejenak melakukan refleksi bahwa tidak ada yang agung, tidak ada yang layak untuk disembah kecuali Allah, Tuhan semesta alam


Pada tahun ini 5 ekor lembu telah diserahkan oleh warga KTSD kepada AJK surau untuk dikorbankan. Selepas solat Aidil Fitri bermula jam 10.00 pagi, penduduk KTSD telah bersedia di kawasan tanah lapang besebelahan balai raya. Kerja-kerja menyembelih, melapah dan membunngkus dilakukan secara bergotong-royong. Daging korban telah dapat  diedarkan kepada semua penduduk pada sebelah petang.





MALAM MUNAJAT PERDANA KTSD





Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat melaksanakan program Munajat Perdana di Surau KTSD. Program  dianjurkan oleh Badan Surau sempena murid-murid  dari KTSD yang  akan menghadapi UPSR, PT3 dan SPMtahun ini.. Warga KTSD  memohon keredaan Illahi, ia secara psikologi juga menjadi pencetus semangat kepada anak-anak untuk tetap tabah dan fokus dalam pembelajaran juga peperiksaan yang dihadapi, in shaa Allah.


Majlis ini telah dilaksanakan pada 28 Ogos  2015 di Surau KTSD selepas solat Maghrib. Pengerusi SurauUstaz  HjHassanuddin Al-Hafiz  telah  memimpin solathajat anak-anak bersama ibu  bapa dan jemaah surau. Semoga segala usaha  beroleh keberkatan.



PERSEMBAHAN  SELAWAT KUMPULAN MARHABAN KTSD ‘SOUTUL SERKAM’ 
DI DEWAN ALAMANDA JASIN.

Pada 22 Ogos 2015 Kumpulan Marhaban KTSD iaitu ‘Soutul Serkam’ telah memenuhi undangan dari UMNO Jasin sempena mesyuarat agung bahagian. Kumpulan kami mengalunkan  perasembahan selawat semasa kunjungan tetamu utama ke dalam dewan. Diketua Ustaz Haris kami mengalunkan bacaan selawat  disertai warga dewan menjadikan suasana lebih meriah menyambut kedatangan tetamu.


Insya Allah kumpulan kami yang bermula dengan bacaan nazam dan qasidah akan terus aktif dalam  pelbagai genre keagamaan.



MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI 2015 ANJURAN BERSAMA KRT DAN BADAN KEBAJIKAN PENDUDUK.

Kemuncak sambutan Syawal  di KTSD ialah apabila diadakan majlis penutup setelah 2 minggu melalui program marhaban dari rumah ke rumah. Kali  ini sambutan dilaksanakan pada 17  Ogos (29 Syawal) di Balai Raya KTSD. Persediaan sambutan telah dirancang oleh AJK taman serta mendapat kerjasama seluruh warga KTSD.

Selepas solat Isyak warga taman mula megunjung balai raya memenuhi 2 buah khemah yang telah disediakan. Kami masih mengekalkan tema berbaju kebangsaan bagi menghadiri majlis ini. Jam 9.30 malam hampir semua kerusi telah dipenuhi penduduk yang dianggarkan 350 orang.  Majlis ini turut dihadiri  wakil-wakil penduduk persekitaran serta dua orang YB iaitu YB Zaidi Atan dan YB Hj  Ghazali Mohamad.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Haris diikuti persembahan marhaban dan berselawat. Pengerusi KRT Hj Mohamad Ibrahim dan YB Zaidi menyampaikan ucapan. Majlis turut meraikan bakal haji dengan penyampaian cenderamata diikuti barisan pelajar cemerlang UPSR, PT3 dan SPM 2014. Juruacara Us Jainal turut memperkenalkan warga baru KTSD kepada hadirin.

Jamuan secara buffet disediakan seperti ketupat, lemang, rendang dan lodeh. Tidak ketinggalan roti canai dan waffle juga ada. Majlis berakhir kira-kira jam 10.45 malam dalam suasana yang baik dan cuaca yang tenang. Syukur Alhamdulillah.




PROGRAM MARHABAN KTSD

Sambutan Syawal di KTSD  agak panjang, sama seperti yang diwar-warkan oleh media dan juga lagu-lagu hari raya, mungkin sedikit berbeza dengan sambutan di taman-taman lain dinegeri Melaka ini.

Amalan yang menjadi tradisi di sini ialah amalan ziarah marhaban dari rumah ke  rumah. Pada tahun kami jalankan program ini bermula pada 25 Julai  (9 Syawal) dan berakhir 7 Ogos (22 SAyawal). Selama tempoh 2 minggu setiap malam selepas solat Isyak seluruh warga KTSD lelaki dan perempuan tua mahupun muda beramai-ramai berkunjung sambil berselawat dan mendoakan kesejahteraan ahli keluarga disamping menuntut kemaafan dari rumah ke  rumah. 

Dianggarkan 7 hingga 8 buah rumah dikunjungi setiap malam dalam seperti yang telah dijadualkan. Pada kesaempatan ini warga taman dapat beramah mesra dan mengenali lebih akrab antara satu sama lain. Sesungguhnya Susana hari raya  di taman kami amt meriah dan sentiasa ditunggu-tunggu saban tahun. Pihak tuan rumah menyediakan juadah seadanya ataupun jamuan yang disediakan secara berkumpulan.


Program marhaban ini malah menjadi lambing kebanggan kami dan menjadi satu keistimewaan yang mula menjadi ikutan bagi taman-taman lain. Kami berharap program ini akan berterusan bagi generasi akan datang.


SAMBUTAN SYAWAL 1436h


1 Syawal tahun ini jatuh pada hari Jumaat 17 Julai 2015. Solat sunat Aidilfitri diadakan di Surau KTSD berimamkan Ustaz Hassanuddin b. Adenan. Bacaah khutbah pula dibacakan oleh Ustaz Nazarul b. Mohideen. Pada malam menjelang Syawal diadakan program bertakbir dari rumah ke rumah sehingga jam 12.00 tengah malam bagi 17 buah rumah. Insya Allah selain mengimarahkan sambutan Syawal program ini juga dapat menjalin hubunga ukhwah warga KTSD.





AMALAN TADARUS


Kira-kira 20 orang warga lelaki dan 15 perempuan menghayati kedatangan Ramadhan dengan bertadarus selepas solat tarawih di Surau KTSD. Bacaan secara bertartil seorang demi seorang dapat member impak kepada pembaca tentang kebesaran kitab suci ini.  Majlis khatam diadakan pada malam 25 Ramadhan 11 Julai 2015.


SAMBUTAN RAMADHAN


Sempena bulan Ramadhan warga Serkam secara berkumpulan mengadakan Program Bubur Lambuk Perdana sebagai menimbulkan semangat kerjasama dan merasakan kehangatan Ramadhan. KRT DUN Serkam  menyediakan juadah berupa bubur lambuk secara gotong-royong. KRT KTSD tidak ketinggalan menyertai program ini yang di adakan di Serkam Corner pada 4 Julai 2015. Pegawai Perpaduan Daerah Jasin En Mustafa Haron telah merasmikan program ini. Bubur lambuk berjaya diedarkan kepada sebilangan penduduk dengan kerjasama AJK KRT masing-masing.



KENDURI SYAABAN

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan ke hadrat Allah SWT supaya hidup kita selamat di dunia dan di akhirat. Hari ini kita sedang berada di bulan Sya’ban yang mulia. Insya Allah pada Bulan hadapan kita akan berpuasa selama sebulan, kerana menjunjung perintah Allah SWT untuk mendapatkan keampunan dan keredhaan daripada-Nya. Apabila sampai malam 15 Sya’ban yang dikenali juga dengan“Malam Nisfu Sya’ban”, para ulama’ yang mengikuti fahaman ahli sunnah wal jamaah biasanya melakukan pembacaan surah Yasin 3 kali selepas solat fardhu Maghrib. Mereka memperbanyakkan doa untuk kebaikan diridan seluruh umat Islam baik secara individu atau secara berjemaah, dengan harapan agar diberi ketetapan iman dan Islam, rezeki yang luas dan umur yang panjang serta mati dalam husnulkhatimah.

Warga KTSD turut menghidupkan sambutan ini dengan mengadakan kenduri di surau pada 3 Jun 2015 bersamaan 16 Syaaban.  Ustaz Salleh dar Madrasah Darul Ulum telah menyampaikan ceramah berkaitan kelebihan Syaaban. Semoga beroleh keberkatan.



SAMBUTAN ISRAK  DAN MIKRAJ TAHUN 1436H

Tanggal 27 Rejab sering dikaitkan dengan sambutan Israk dan Mikraj. Malah sambutan hari kebesaran dalam Islam ini menjadi suatu fenomena seluruh dunia dengan meraikannya melalui pelbagai acara. Meskipun sambutan tersebut baik dilakukan, tetapi yang menjadi pokoknya mestilah dilandaskan dengan Syariat ILAHI agar segala jerih perit perjuangan Nabi Muhammad SAW dan Sahabatnya bermanfaat untuk diteladani dan diikuti umat Islam masa kini.


Surau KTSD tidak ketinggalan meraikan hari kebesaran ini pada 17 Mei 2015 selepas  solat Maghrib. Warga KTSD telah membuat persiapan seawal jam 2.00 petang lagi terutama  bagi menyediakan juadah secara bergotong-royong.

Sambutan kali ini diadakan program ceramah oleh Tuan Guru Ustaz Salleh bin Hamzah dari Madrasah Darul Ulum. Kira-kira 200 orang jemaah telah memenuhi ruang surau malam itu. Sesungguhnya peristiwa Israk dan Mikraj memberi impak besar kepada seluruh ummah sejak awal-awal lagi yang merupakan cabaran utama dalam usaha Rasulullah mengembangkan syiar Islam. Pemilihan Baginda SAW bagi mengesakan Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj adalah suatu penghormatan besar yang diberikan Allah kepada seorang Nabi yang juga Rasul terakhir.

Perjalanan Rasulullah SAW dalam peristiwa itu mencabar pemikiran manusia secara keseluruhannya. Hanya manusia yang beriman dan meyakini kekuasaan Allah saja yang dapat menerima kejadian itu sebagai kebenaran dan lambang kekuasaan Allah. Peristiwa paling besar dan penting diterima Baginda SAW ialah perintah Allah supaya umatnya melakukan ibadat solat fardu. Sewaktu tiba di Sidratul Muntaha, Rasulullah SAW menerima perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya iaitu sebanyak 50 waktu sehari semalam sehingga akhirnya menjadi 5 waktu saja.

Secara tuntasnya, peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku pada Rejab ini hendaklah dihayati untuk menguji dan membuktikan kepercayaan umat dengan mukjizat ALLAH SWT terhadap Rasulullah SAW



MAJLIS AQIQAH TAHNIK DAN BERENDOI DI KTSD

Cukur  jambul adalah adat unik masyarakat Melayu bagi menyambut kehadiran cahaya mata baru dalam keluarga. Sambil para hadirin berselawat, bayi didukung oleh bapa atau datuknya kemudian hadirin bergilir-gilir menggunting sedikit rambut bayi. Budaya ini masih diamalkan di kampung kami memandangkan adat ini pada asasnya tidak bertentangan dengan syariat Islam.
 
Pada 18 April 2015 bertempat di rumah Tn Hj Wahid Rakob penduduk KTSD telah meraikan kelahiran cucu beliau dengan mengadakan Majlis Aqiqah, Tahnik dan Berendoi. Seluruh warga KTSD hadir kira-kira jam 2.00 petang. Majlis dimulakan dengan bacaan tahlil diikuti bacaan barzanji oleh Pasukan Barzanji KTSD. Kemudian semua hadirin mengalunkan bacaan selawat dan marhaban. Ketika inilah bayi (Airis Safiya bt Ahmad Zulkilmi) didukung oleh si  bapa untuk majlis tahnik dan cukur jambul.

Suasana agak meriah dengan berkumandangnya alunan marhaban serta pengedaran cenderahati kepada semua tertamu. Kemeriahan ini semata-mata kerana majlis sebegini jarang dianjurkan lagi, dan masyarakat jarang berpeluang menyaksikannya.



Selepas dilakukan cukur jambul, bayi dibawa ke dalam rumah untuk melakukan aturcara berendoi oleh pasukan berendoi wanita. Alunan lembut syair  berendoi berupa nasihat oleh pasukan berendoi  menggamit kesyahduan para tetamu. Ibu bayi mengayunkan  perlahan-lahan buai khas yang dihias cantik bagai pelamin raja sehari.

Majlis berakhir dengan bacaan doa diikuti jamuan makan kepada semua tetamu. Antara hidangan jamuan pastilah gulai kambing sebagai lauk utama sempena majlis aqiqah ini. Semoga majlis  sepertiini mendapat keberkatan Allah  Subhanahu Wata’ala.




KULIAH DUHA DI SURAU KTSD
Penceramah undangan Ustaz Hj Dahlan bin Suramin

Atas  usahaJawatankuasa Surau kali ini menganjurkan Kuliah Duha yang bakal di teruskan secara bulanan. Kuliah pada 26  April 2015 ini menampilkan penceramah dari SMKA Sultan Muhamad, Ustaz Hj Dahalan b, Suramin. Kuliah dijalankan pada waktu duha antara jam 9.00 pagi hingga 11.00. Tahniah AJK Surau KTSD.


GOTONG-ROYONG MEMBERSIHKAN KAWASAN BALAI RAYA PADANG DAN SURAU




29 Mac 2015 warga KTSD sekali lagi menjalankan program gotong-royong. Kali ini kawasan tumpuan ialah sekitar balai raya, gelanggang permainan dan surau KTSD. Kira-kira 20 orang telah hadir melaksanakan kerja-kerja amal ini. Semoga  lebih ramai warga  KTSD akan hadir pada sesi akan datang. 

SAMBUTAN MAULIDUL RASUL 1436 H

Cuaca agak sejuk pagi itu ditambah dengan hembusan bayu pagi menambah kesegaran kampung kami KTSD. Bermula jam 7.30 pagi 10 Jan 2015 warga KTSD dari segenap lapisan mula berkumpul di perkarangan Surau KTSD. Pada jam 8.00 pagi warga KTSD telah bersiap sedia untuk menyambut perayaan besar meraikan rasul junjungan Nabi Muhammad SAW Maulidul Rasul.



Perarakan mengelilingi KTSD bermula jam 8.15 pagi disamping penyertaan pelajar-pelajar Madrasah DarulUlum serta Tuan Guru Ustaz Salleh. Alunan selawat berkumandang memecah kesunyian pagi mengiringi perarakan warga KTSD dengan rasa keinsafan dan kesyukuran.

Perarakan mengambil masa kira-kira satu jam sehinggalak  kami sampai semula ke surau KTSD. Setelah menjamu hidangan semua hadirin menaiki surau untuk aturcara seterusnya. Program bermula dengan ucapan Pengerusi surau Ustaz Hasanuddin Alhafiz.  Kumpulan Qasidah KTSD tampil memberi persembahan sebagai pembuka acara. Alunan solo Adik Basyir Awaluddin menyampaikan bait-bait syair Arab memuji rasul junjungan memberikan semangat kepada sekelian hadirin.


Acara kemuncak ialah ceramah Maulidul Rasul  oleh Ustaz Salleh.  Di antara intipati yang perlu diserlahkan di dalam mana-mana sambutan Maulidur Rasul ialah melahirkan rasa kecintaan terhadap Rasulullah serta perjuangannya menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini, seterusnya merealisasikan rububiyyah dan konsep khalifah yang terulung di dunia. Kecintaan
kepada Rasulullah sangat penting kerana hanya dengan kecintaan kepada Baginda mampu untuk kita meraih kecintaan daripada Allah sepertimana yang termaktub dalam Al-Quran. Bahkan, mencintai Rasulullah merupakan pelengkap kepada keimanan seorang mukmin sejati.

Kira-kira jam 11.30 pagi Majlis Sambutan Maulidul Rasul sampai ke penghujungnya.Sebelum bersurai semua hadirin menikmati jamuan makan. Kami beransur-ansur pulang meninggalkan surau untuk urusan lain pada hujung minggu ini. Wassalam.

No comments:

Post a Comment